e-Majalah Laman-MAP
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

 

[ Laman Utama ] [ Korporat ] [ Perkhidmatan ] [Forum Siber ] [ e-Majalah ] [  Pautan  ]

Kesilapan Lazim Mendidik Anak - Bahagian 1
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

PERHATIAN:  Hakcipta dituntut oleh MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.  Anda tidak boleh mencetak atau mengedar bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari kami.  Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu pengetahuan.  Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran boleh dibuat melalui emel.


Mendidik anak-anak merupakan suatu perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa.  Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar sebagai orang gagal dan bermasalah.  Sebagai ibu bapa kita perlu ingat bahawa anak-anak adalah amanah Allah s.w.t. kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya.  Mereka lahir seperti kain yang putih bersih tanpa sempurna tanpa sebarang cacat celanya.  Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna yang tertentu.  Sebahagian besarnya mengikut acuan yang telah kita sediakan untuk mereka. 

Dalam membesarkan anak-anak kita tidak menyedari pelbagai kesilapan telah dilakukan tanpa kesedaran kita.  Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan tentang aspek keibubapaan.  Dalam mendidik anak-anak perlu diingatkan bahawa didikan bukan melalui paksaan tetapi tauladan.  Anak-anak lebih percaya apa yang dilihat dari apa yang didengar.  Kalau kita suruh anak-anak menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri sentiasa tidak menepati masa serta sering bertangguh, maka mereka lebih terikut-ikut kepada apa yang mereka lihat kita lakukan.  Maka wajarlah dalam mendidik anak-anak, kita dalam masa yang sama perlu mendidik diri kita juga.

Kesilapan yang sering dilakukan dalam mendidik anak-anak bolehlah dibincangkan seperti dibawah:

Membanding-bandingkan. Ibu bapa seringkali membanding-bandingkan sama ada kebolehan atau kelemahan anak dengan orang lain.  Ada ketikanya perbandingan ini dibuat antara adik-beradik dan ada ketikanya dengan orang lain seperti anak jiran, saudara, sepupu, kawan atau sesiapa sahaja.  Memanglah tujuan perbandingan ini dibuat ialah untuk mendorong atau memberi semangat kepada anak.  Tetapi kerap kali anak-anak akan salah tafsir akan tujuan ibu bapa berbuat demikian.  Sekiranya perbandingan dibuat antara adik beradik, maka kita telah menyuburkan sifat cemburu dan iri hati dalam diri anak.  Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak akan merasa rendah diri dan hilang kekuatan untuk bersaing.

Perbandingan hanya boleh dibuat ketika tiada tekanan emosi. Maknanya ketika perbincangan berlaku secara terbuka.  Bukan ketika anak sedang dimarahi. Kita boleh jadikan orang lain sebagai contoh untuk ditauladani tanpa membandingkannya dengan anak kita.  Barulah mereka boleh menerimanya.  Cuba lihat contoh perbualan dibawah:

Contoh 1"Apa nak jadi kau ni... lihat si Ali tu, tiap kali petang pasti dia balik awal.  Lepas tu terus mandi, solat dan belajar.  Tak macam engkau ni, entah apa nak jadi nanti".

Contoh di atas ternyata ibu bapa membuat perbandingan langsung antara anak dengan si Ali.  Anak kita cukup tidak menggemarinya.

Contoh 2: "Orang berjaya ialah orang yang sentiasa menepati waktu.  Waktu main, mainlah sepuas-puasnya tapi bila tiba waktu belajar, waktu solat dan sebagainya perlu diseimbangkan pula.  Kalau kita balik ke rumah awal sempatlah untuk solat dan mandi sebelum belajar.  Badan pun tak penat, betul kan?"

Lihat, contoh diatas tiada langsung unsur perbandingan.  Maksudnya tetap sama dengan contoh yang pertama, malah diselitkan pula dengan alasan yang munasabah disamping meminta anak berfikir dengan menjuruskan perkataan... betul kan?

Jadi cubalah cari jalan agar kita tidak lagi membuat perbandingan ketika memarahi anak.  Seperti yang telah dikatakan awal-awal tadi, contoh kejayaan orang lain boleh diceritakan sewaktu tiadanya tekanan atau desakan emosi dalam diri anak.

Merendahkan kebolehan anak.  Kita sering kali tanpa sedar merendahkan kebolehan anak secara langsung.  Kerap kali ibu bapa yang resah tentang masalah anak akan meluahkan keluhannya kepada orang lain dihadapan anak-anak.  Ada ketikanya apabila bertemu jiran, kita beritahu mereka akan kelemahan anak kita.  "Anak saya ni Cik Jah... entah apa lagi saya nak cakap.. malas betul nak belajar".  Itu salah satu contoh ungkapan.  Ungkapan ini pula dibuat dengan kehadiran anak, maka anak percaya apa yang didengarnya.  Secara tidak langsung si ibu telah suburkan lagi sikap negatif dalam diri anak itu. 

Ada ketikanya pula ibu bapa merendahkan kebolehan diri anak-anak secara langsung apabila marah.  "Kau ni besar nanti apa nak jadi?  Dah lah malas, degil pulak tu..".  Kata-kata begini menghiris perasaan anak-anak dan tentunya bila sentiasa diulang-ulang akan membuatkan mereka percaya itulah sahaja kemampuan diri mereka.  Ibu bapa perlu ingat setiap patah perkataan yang kita ucapkan atas diri anak-anak merupakan suatu doa.  Janganlah nanti kata-kata yang tidak baik pula dimakbulkan Allah s.w.t.  OLeh itu, carilah kebaikan dalam diri anak walaupun kecil.  Subur-suburkanlah kebaikan itu.  Mendidik anak-anak merupakan suatu proses yang berterusan.  Jangan menyangka untuk melihat perubahan yang mendadak dalam diri anak.  Sebagai pendidik, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi.

Memarahi anak tidak pada tempatnya. Ibu bapa seringkali memilih waktu yang salah memarahi anak-anak.  Ramai ibu bapa dalam sessi kaunseling saya mengadu bahawa anak-anak mereka tidak suka berterus terang atau berbincang masalah dengan mereka.  Sebenarnya kenyataan sedemikian agak kurang tepat.  Anak-anak tidak mahu berbincang atau berterus terang sebab ibu bapa sendiri tanpa disedari telah menutup pintu perbincangan tersebut.  Waktu anak masih kecil, sama ada di alam tadika atau sekolah rendah, mereka pernah mengadu hal kepada ibu bapa.  Mereka mengadu segala-galanya kerana ibu bapalah yang dianggap sebagai pelindung kita.  Misalnya, anak kita mungkin pulang dari sekolah dan mengadu yang guru telah memarahinya.  Kita pasti bertanya kenapa guru marah.  Anak memberitahu yang dia telah dimarahi guru kerana mengejek, mengusik, memukul atau mengambil barang kawan. 

Apa tindak balas kita?  Ramai ibu bapa apabila mengetahui bahawa guru memarahi anak disebabkan kesilapan anak itu sendiri akan segera marah anak itu sekali lagi.  Apa pula perasaan anak?  Tindakan mengadu hal tadi menyebabkan emosinya dua kali sakit.  Apabila perkara sebegini berlaku berulang-ulang kali maka anak tidak akan berterus terang dan berbincang lagi.  Sebab mereka tahu tindakan berterus terang adalah suatu tindakan yang membawa padah.  Sikap inilah kelak yang terbawa-bawa sehingga anak membesar.

Oleh itu, jangan memarahi anak apabila mereka berterus terang.  Jangan pula menyebelahi mereka.  Jelaskan secara bijak bahawa perbuatan mereka sememangnya salah dan tindakan guru itu wajar.  Dengan cara begini anak-anak akan belajar dari kesilapan.  Hubungan ibu bapa dan anak juga makin akrab.

 


Hakcipta terpelihara  Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel:  05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my