e-Majalah Laman-MAP
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

 

[ Laman Utama ] [ Korporat ] [ Perkhidmatan ] [Forum Siber ] [ e-Majalah ] [  Pautan  ]

Cara Menghukum Anak
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

PERHATIAN:  Hakcipta dituntut oleh MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.  Anda tidak boleh mencetak atau mengedar bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari kami.  Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu pengetahuan.  Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran boleh dibuat melalui emel.


Ramai yang merasakan bahawa mendidik anak-anak untuk cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan yang mendalam.  Sebenarnya apa yang anda perlukan ialah naluri kemanusiaan.  Sekiranya anda cuba memahami kenapa seseorang anak melakukan atau bertindak dalam sesuatu perkara maka lebih mudah untuk anda merangka penyelesaian dan memikirkan pendekatan terbaik menangani dan menasihati mereka.  Cara terbaik ialah meletakkan diri anda ditempat mereka dan tanya diri sendiri kenapa aku melakukannya begini.

Satu perkara yang anda perlu faham tentang tingkahlaku ialah:

‘Semua tingkahlaku adalah untuk kebaikan diri sendiri’

Mungkin tingkahlaku anak-anak anda tidak seiring dengan adab sopan, peraturan atau disiplin tetapi percayalah mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari untuk kepuasan diri mereka sendiri.  Setelah anda memahami ‘hukum’ ini maka anda perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji atau perlu dihukum.  Dua perkara ini sangat penting dan perlu dilakukan dengan berkesan agar ia melahirkan anak-anak yang positif mindanya.

Sayangnya, tidak ramai ibu bapa yang tahu bagaimana nak memuji atau menhukum anak-anak mereka.  Ada ketikanya pujian yang diberikan bagaikan melepaskan batuk ditangga dan tidak berkesan.  Ada ketikanya hukuman yang dikenakan pula tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut perasaan lalu anak-anak tidak mempelajari apa-apa disebalik kesalahan yang telah dilakukan.  Hukuman terdiri dalam pelbagai bentuk iaitu:

  1. Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya menyentuh tingkahlaku mereka.

  2. Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).

  3. Didenda untuk melakukan kerja seperti kerja-kerja rumah.

  4. Disekat sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau keluar bersama rakan-rakan.

  5. Dikurangkan wang saku berbanding seperti lazimnya untuk tempoh waktu tertentu.

  6. Lain-lain.

Adalah penting bahawa hukuman hanya diberikan setelah anak-anak terlebih dahulu dimaklumkan akibat daripada tingkahlaku buruk mereka.  Sebab itu kesalahan pertama anak tidak wajar terus dimarahi dan didenda.  Biasanya apabila ia merupakan kesalahan pertama, ibu bapa perlu sekadar memaklumkan yang mereka marah tetapi tidak menunjukkan kemarahan tersebut.  Selepas itu anak diberitahu apa akibatnya kalau kesalahan itu berulang.

Untuk memuji dan memarahi/menghukum secara berkesan langkah-langkah seperti berikut hendaklah digunakan:

  1. Maklumkan pada anak-anak sejak awal-awal lagi bahawa anda akan sentiasa melihat dan memberitahu mereka tentang perkembangan tingkahlaku mereka.  Nyatakan juga apa bentuk ganjaran atau hukuman yang akan mereka terima.

  2. Pujian dan hukuman mesti disegerakan.

  3. Nyatakan kebaikan atau kesalahan mereka secara spesifik.

  4. Nyatakan dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan tingkahlaku mereka terhadap maruah keluarga atau masa depan mereka.

  5. Diam seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama apa yang sedang anda rasai.

  6. Kalau ia suatu pujian, galakkan anak-anak untuk mengulangi tingkahlaku baiknya itu.  Sebaliknya, kalau ia suatu hukuman, pastikan anak anda tidak mengulanginya dimasa-masa yang akan datang.  Nyatakan dengan jelas apa tindakan anda sekiranya mereka mengulanginya dilain masa. 

  7. Lihat mata anak ketika anda bercakap, sentuh anak-anak ketika anda membina keyakinannya.

 


Hakcipta terpelihara  © Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel:  05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my