e-Majalah Laman-MAP
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

 

[ Laman Utama ] [ Korporat ] [ Perkhidmatan ] [Forum Siber ] [ e-Majalah ] [  Pautan  ]

Prinsip 3 'S'
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

PERHATIAN:  Hakcipta dituntut oleh MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.  Anda tidak boleh mencetak atau mengedar bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari kami.  Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu pengetahuan.  Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran boleh dibuat melalui emel.


Dari Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.”  (Riwayat Muslim)

Hadis di atas membuktikan Allah mahukan umat Islam menjadi mukmin yang kuat iaitu kuat dari segi kesihatan fizikal, pemikiran, keimanan, ketakwaan, ekonomi, ilmu pengetahuan, jemaah dan segalanya. Untuk cemerlang kita mestilah bekerja kuat dan bertindak bijak. Iaitu ‘Work Hard and Work Smart’. Bekerja kuat memastikan kejayaan milik kita, cuma masa sahaja yang akan menentukan kejayaan tersebut. Bertindak bijak pula mempercepatkan lagi kejayaan itu disamping menjadikan kita orang yang berkesan. Apabila kita bertindak bijak, kos menuju kecemerlangan dapat dikurangkan, masa dapat dijimatkan, tenaga dan sumber dapat disalurkan secara efektif.

Memahami Konsep 3S

Untuk cemerlang kita mesti memahami konsep 3S iaitu Sasaran, Strategi dan Sikap. Dalam siri yang lalu, saya telah bincangkan betapa pentingnya kita mempunyai matlamat atau sasaran dalam menuju kecemerlangan.

Sasaran adalah hasil yang mahu dicapai dalam satu tempoh masa, yang disertakan dengan perancangan yang rapi, yang menghantui fikiran hingga timbul kesanggupan untuk melakukan apa sahaja.

Sasaran yang diletakkan itu membolehkan kita mengukur prestasi kita dan mengukur kejayaan kita. Sasaran juga memudahkan kita mengatur perancangan yang perlu digerakkan. Hadis di atas menyarankan kita sebagai umat Islam berlumba-lumba dalam mencari apa sahaja yang membawa kemanfaatan. Oleh itu kenapa tidak kita letakkan sasaran yang besar-besar? Kenapa mesti berpuashati dengan sasaran-sasaran kecil. Letakkanlah sasaran yang besar seperti mahu jadi jutawan, pemimpin ulung, legenda, ternama, dan sebagainya. Dalam berusaha itu juga kita mesti sentiasa memohon pertolongan Allah. Sekiranya usaha yang kita lakukan itu bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan demi mencari keredhaan Allah maka pasti pertolongan Allah akan tiba. Yang penting jangan sesekali kita merasa putus asa dalam mengharap rahmat Allah. Allah maha mengetahui apa yang baik untuk kita seperti mafhum firmannya dalam surah al-Baqarah 2: 216 iaitu:

“… dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui”.

Oleh itu hendaklah kita berlapang dada untuk menerima apa sahaja yang didatangkan kepada kita kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

‘S’ kedua yang mendorong kepada kecemerlangan diri ialah Strategi. Untuk cemerlang kita perlu ada strategi yang berkesan. Malah mana-mana organisasi cemerlang di dunia pasti mempunyai Perancangan Strategik (Strategic Planning) yang menjadi rangka kepada perjalanan organisasi tersebut. Secara mudah Perancangan Strategik bermakna menentukan apa yang mahu diperolehi dan bagaimana cara paling berkesan untuk merealisasikannya. Begitu juga dengan individu, apabila kita mengetahui apa sasaran hidup kita maka langkah seterusnya ialah menentukan pula bagaimana cara paling berkesan untuk mendapatkannya.

Langkah-langkah membina Strategi Berkesan:
 
  1. Tentukan sasaran anda.
  2. Tentukan tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sasaran ini.
  3. Buat analisa tentang kekuatan dan kelemahan diri.
  4. Kenalpasti ilmu, kemahiran, individu tertentu, sumber-sumber dan sebagainya yang diperlukan.
  5. Susun pelan tindakan.
  6. Sentiasa memantau, menyemak, menilai dan mengemaskini pelan tindakan anda.

Perkara penting yang perlu diingat:

  1. Sentiasa fleksibel dalam pendekatan yang digunakan. Ada ketikanya kita perlu mencuba beberapa pendekatan dalam mencari pendekatan paling berkesan.
  2. Jangan tunggu segalanya sempurna baru mahu bermula. Tidak ada satu pun yang sempurna selagi ia ciptaan makhluk. Menantikan sesuatu perancangan yang betul-betul sempurna baru mahu bermula bermakna kita melambatkan diri kita untuk cemerlang.
  3. Mulakan langkah pertama sekarang. Tetapi harus diingat, untuk memulakan kita bukan sahaja bersemangat ketika bermula tetapi kita juga mesti kekalkan momentum yang sama hingga ke penghujungnya.
  4. Belajar dari setiap kesilapan dan kegagalan.

Hadis di atas juga melarang kita menggunakan perkataan ‘andaikata’ iaitu menyesali apa yang telah dilakukan apabila hasilnya tidak seperti yang kita sasarkan. Dengan berkata begitu ia membuka pintu kepada godaan syaitan dan ia juga menggugat keimanan kita terhadap qada dan qadar Allah. Sebagai seorang Islam kita tidak sepatutnya risau dengan urusan Allah. Kita mesti faham bahawa membuat perancangan, mengatur pelan tindakan dan seterusnya berusaha bersungguh-sungguh itu urusan kita sebagai hamba. Tetapi yang menentukan hasilnya itu kelak adalah urusan Allah. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja hasil yang datang.

Sekiranya hasilnya itu tidak memuaskan maka kita perlu belajar dari kesilapan dan kegagalan ini. Setiap apa yang berlaku itu tersirat hikmahnya yang tersendiri.

Hikmah dari kesilapan dan kegagalan ialah:

  1. Kesilapan dan kegagalan membuka peluang mencari penyelesaian baru. Ada ketikanya penyelesaian baru ini jauh lebih baik dan lebih berkesan dari pendekatan yang sebelumnya.
  2. Kesilapan dan kegagalan memberikan kita pengalaman. Ramai orang takut mencuba kerana takut gagal. Kalau begitu bagaimana kita boleh memperolehi pengalaman. Apabila kita banyak kali mencuba dan banyak kali gagal maka kita menjadi orang yang lebih berpengalaman dan mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana.
  3. Kegagalan membina peribadi. Apabila kita gagal, kita boleh serahkan segala-galanya pada nasib, mengalah dan putus asa ATAU kita boleh memilih untuk berundur seketika, melakukan 'post-mortem' dan melangkah semula dengan lebih bergaya. Ingat! Berundur bukan bererti kalah, mengalah bukan bererti lemah. Oleh itu adakah kita mahu membina peribadi sebagai seorang yang gagal atau sebagai seorang juara? Pilihan ada ditangan kita sendiri.
  4. Kesilapan dan kegagalan menyedarkan kita tentang kekurangan dan kelemahan. Dengan pengalaman ini kita boleh memperbaikinya dan menjadi semakin jauh lebih baik selepas itu. Ia juga mengelakkan diri kita dari bersikap ego, sombong dan takbur.

‘S’ terakhir yang sama pentingnya dalam menentukan kecemerlangan adalah sikap. Kajian menunjukkan 85% mereka yang berjaya dalam hidup ini adalah berdasarkan sikap dan hanya 15% sahaja berjaya berdasarkan kebijaksanaan. Kerana sikaplah maka Thomas Alva Edison yang dikatakan bodoh disekolahnya akhirnya berjaya cipta lampu. Kerana sikap juga Kolonel Sanders yang telah bersara pada usia 60 tahun berjaya memperkenalkan resepi ayam goreng KFC nya keseluruh dunia. Bagaimana pula kita sebagai orang Islam?

Sasaran yang besar serta Strategi yang mantap tidak mungkin dapat dicapai kalau sikap kita bagaikan melepaskan batuk ditangga, sambil lewa dan main-main dalam melakukannya. Sebaliknya, gabungan 3S ini akan menjadikan umat Islam cemerlang dalam apa jua yang mahu dilaksanakannya. Dalam ruangan yang akan datang saya akan mengupas lebih lanjut tentang sikap dan kesannya dalam menentukan kecemerlangan seseorang insan. InsyaAllah.
 


Hakcipta terpelihara  © Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel:  05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my