e-Majalah Laman-MAP
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

 

[ Laman Utama ] [ Korporat ] [ Perkhidmatan ] [Forum Siber ] [ e-Majalah ] [  Pautan  ]

Bagaimana Menjadi Lebih Kreatif?
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

PERHATIAN:  Hakcipta dituntut oleh MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.  Anda tidak boleh mencetak atau mengedar bahan-bahan dari laman-map ini sebelum terlebih dahulu mendapat kebenaran dari kami.  Bahan-bahan ini adalah untuk tatapan anda sebagai satu sumber ilmu pengetahuan.  Sebarang pertanyaan atau permohonan untuk mendapat kebenaran boleh dibuat melalui emel.


Manusia memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk maju.  Lebih menarik lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan latihan-latihan tertentu secara konsisten bagi meningkatkan daya kreativiti mereka.  Dengan latihan-latihan ini anda akan dapati diri anda menjadi lebih kreatif dan anda mampu menyumbang pelbagai ide yang tidak pernah anda fikirkan selama ini.  Ide-ide ini mungkin menjadi penyebab kejayaan anda untuk lebih berjaya dalam karier, pergaulan, bisnes dan sebagainya.

Langkah-langkah yang anda perlu ambil dari sekarang:

  1. Berani lakukan perubahan. Jangan takut untuk mencuba pelbagai pendekatan baru dalam melakukan sesuatu yang biasa anda lakukan.  Tidak semestinya pendekatan baru anda ini lebih baik tetapi sekurang-kurangnya anda melatih minda anda untuk berani lakukan perubahan.  Minda anda akan lebih fleksibel terhadap sesuatu perkara dan membuka peluang untuk anda lihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut pandangan.  Misalnya, cuba pelbagaikan jalan yang biasa anda ambil untuk ketempat kerja; setiap kali sembahyang Jumaat, pergi ke masjid yang berbeza; ubah dari semasa ke semasa kedudukan perabut di rumah atau di pejabat anda; ubat kegemaran anda menulis dalam satu-satu format, fonts, warna dan sebagainya; apabila ke restoran cuba minta minuman yang lain dari kebiasaan anda; fikirkan pendekatan baru atau stategi baru dalam satu-satu permainan; dan lain-lain.  Yang penting disini ialah biasakan diri anda untuk berani lakukan perubahan.

  2. Suburkan setiap ide baru.  Ramai orang yang mempersendakan ide-ide yang kurang matang atau kurang bernas.  Tetapi tidakkah anda sedar banyak kejayaan yang dicapai hari ini bermula dari ide yang tidak masuk akal?  Wright Brothers dikatakan gila apabila mereka kata besi boleh terbang.  Edison dicemuh apabila dia kata malam boleh menjadi terang.  Kini terbukti ide-ide gila merekalah yang membawa kemakmuran dalam hidup kita kini.  Oleh itu, jangan diracuni setiap ide.  Mungkin apabila ide tersebut dicanai ia membawa suatu impak yang besar dan pembaharuan dalam hidup.  Kaji setiap ide sebelum ia diketepikan.  Meskipun terbukti ide tersebut tidak membawa faedah, namun pengalaman berfikir yang telah anda libatkan membawa makna besar dalam kejayaan selepas itu.  Ide atau cetusan ilham ada ketikanya datang secara tiba-tiba dalam masa hanya beberapa saat.  Jangan tertipu dengan berkata yang anda akan menulisnya kemudia kerana anda pasti lupa tentang ide itu akibat kesibukan kerja, atau terfikir sesuatu perkara yang lain, atau anda sendiri berkata ide itu tidak bagus.  Mulai hari ini pastikan anda sentiasa membawa buku kecil kemana-mana sahaja anda pergi.  Catatkan setiap ide, tanpa menilai, ke dalam buku kecil itu.  Berikan masa untuk anda fikirkan ide tersebut setelah anda tenang.

  3. Bina kebolehan meniru dan mengubahsuai.  Hari ini, agak sukar untuk anda menemui ide-ide yang baru dan unik.  Kebanyakan ide baru anda datangnya daripada gabungan pelbagai ide yang telah wujud sekeliling anda.  Ada pendapat yang mengatakan, sekiranya anda mampu mengubahsuai 10% sahaja apa yang telah orang lain hasilkan maka cukup untuk anda menjadi kaya raya.  Pastikan pengubahsuaian ini tidak melanggar hak cipta atau paten yang telah didaftarkan oleh orang lain.

  4. Bina kreativiti anda apabila ada masa lapang.  Gunakan masa lapang anda untuk mengasah minda kepada aktiviti yang merangsang daya kreativiti anda.  Sekiranya senaman dan riadah yang anda lakukan dimasa lapang banyak membantu kecergasan anda ditempat kerja (atau sekolah) begitulah juga dengan minda.  Aktiviti minda yang anda lakukan dimasa lapang akan membantu kecerdasan minda anda ditempat kerja atau sekolah.  Contohnya, gunakan masa lapang untuk teka-teki, permainan chess, "puzzles", melukis, kraftangan, fotografi dan sebagainya.

  5. Amalkan sikap ingin tahu dan suka menyelidik.  Jangan sekadar berpuashati dengan apa yang ada disekitar anda, tidak ada satu pun yang sempurna.  Setiap ciptaan manusia yang anda lihat pasti ada cacatnya.  Sikap suka menyelidik ini membolehkan anda mendapat ide-ide baru bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada.  Tanyakan diri anda dengan soalan-soalan seperti Apa? Kenapa? Bila? Bagaimana?  Setiap kali ada orang yang mengatakan yang sesuatu itu tidak boleh dibuat (atau tidak boleh dicapai), tanyakan soalan ini, "Kenapa tidak?".  Binakan sikap suka bertanya.  Tidakkah anda sedar anak kecil yang banyak bertanya itu lebih bijak daripada anak kecil yang sekadar diam.  Begitulah juga dengan kita.

Dengan mengamalkan saranan di atas dalam kehidupan harian anda, anda akan dapati banyak perkara baru dan menarik yang bakal ditemui setiap hari.  Minda anda menjadi lebih kreatif.  Anda lebih kritikal.  Tidak mudah menerima mentah-mentah sesuatu itu dan berani pula hadapi perubahan.  

Sekian.


Hakcipta terpelihara  Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel:  05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel : webmaster@maptraining.com.my